FAQ

SOALAN LAZIM (FAQ)

A. SOALAN-SOALAN BERKAITAN PERANTISISWA
1. Apakah itu inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia?

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40 bagi memastikan proses pengajian para mahasiswa terus terpelihara.

2. Siapakah yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia?

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah di bawah Belanjawan 2022 yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

3. Siapakah Pentadbir Program PerantiSiswa?

Pentadbir Program PerantiSiswa ialah Unit Pengurusan Peranti Siswa, Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

4. Bilakah PerantiSiswa mula diberikan kepada mahasiswa?

PerantiSiswa dijangka mula diagihkan kepada mahasiswa pada September 2022 bagi permohonan Fasa 1. Pengagihan peranti bagi Fasa 2 pula dijangkakan dapat dibuat pada bulan Oktober atau November 2022. Pemakluman terkini berkenaan pengagihan peranti akan dimaklumkan oleh pihak K-KOMM dari semasa ke semasa.

5. Adakah setiap mahasiswa daripada keluarga B40 akan menerima PerantiSiswa?

Inisiatif ini akan melibatkan mahasiswa warganegara Malaysia dalam kelompok keluarga B40 iaitu keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 dan menuntut di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Inisiatif ini juga diperluaskan kepada pelajar Asasi di bawah KPT, pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Tingkatan 6, Kolej Vokasional, Sekolah Sukan dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pelajar ASWARA di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

6. Saya merupakan mahasiswa tahun akhir pada tahun 2022. Adakah saya layak memohon?

Mahasiswa tahun akhir pada tahun 2022 adalah tidak layak memohon.

7. Adakah mahasiswa yang mengikuti pengajian secara separuh masa layak memohon PerantiSiswa?

Tidak. Pemohon mestilah mahasiswa yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa.

8. Saya tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan dan saya tidak mempunyai sebarang peranti atau komputer riba untuk menyokong proses pembelajaran saya. Adakah saya layak memohon PerantiSiswa?

Ya. Layak memohon kerana memenuhi syarat-syarat kelayakan umum permohonan PerantiSiswa. Pemohon perlu menyatakan justifikasi permohonan semasa mengisi borang permohonan.

9. Saya merupakan mahasiswa yang bukan dari kelompok keluarga B40 tetapi saya memerlukan peranti untuk membantu proses pengajian saya kerana saya terkesan akibat bencana alam seperti banjir atau kebakaran. Adakah saya boleh memohon PerantiSiswa?

Mahasiswa yang bukan dari kelompok keluarga B40 yang terkesan akibat banjir, kebakaran atau apa-apa sebab lain yang munasabah, boleh memohon dengan menyatakan justifikasi permohonan semasa memohon.

10. Saya mempunyai adik-beradik lain yang memenuhi syarat-syarat umum permohonan PerantiSiswa. Adakah lebih dari satu (1) permohonan dari keluarga B40 yang sama layak memohon PerantiSiswa?

Ya. Permohonan adalah berdasarkan permohonan individu bagi setiap mahasiswa yang layak.

11. Adakah peranti yang diterima perlu dikembalikan?

Pada peringkat permulaan inisiatif ini, PerantiSiswa perlu dipulangkan kepada Pentadbir Program apabila mahasiswa atau pelajar tersebut tamat mengikuti pengajian di IPT masing-masing. Walau bagaimanapun, selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Majlis Pelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada 3 September 2022 di UiTM Shah Alam, tablet PerantiSiswa Keluarga adalah diberikan terus secara percuma kepada penerima yang diluluskan.

12. Apakah jenis peranti yang akan dibekalkan?

Peranti yang dibekalkan adalah sebuah tablet Samsung Galaxy Tab A8 LTE beserta aksesori tulen seperti papan kekunci (keyboard), pen stylus dan casing. Ianya turut disertakan dengan tempoh jaminan selama dua (2) tahun.

13. Berapakah jumlah bilangan mahasiswa yang akan menerima manfaat dari inisiatif PerantiSiswa?

Dijangkakan seramai 350,000 mahasiswa akan menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif PerantiSiswa pada tahun ini.

14. Permohonan PerantiSiswa saya telah diluluskan. Bilakah dan dimanakah saya boleh mengambil PerantiSiswa tersebut?

Pelajar dan mahasiswa yang telah diluluskan permohonan PerantiSiswa akan menerima notifikasi melalui emel berkenaan status permohonan mereka. Pemohon perlu membuat persetujuan penerimaan dan akan dimaklumkan mengenai tarikh dan tempat pengambilan PerantiSiswa tersebut. Pengagihan PerantSiswa adalah di IPT masing-masing.

15. Adakah saya boleh mengambil PerantiSiswa di mana-mana Pusat Jualan Samsung?

Pemohon yang telah diluluskan untuk menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan membuat pengambilan di IPT masing-masing yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui emel dan portal PerantiSiswa K-KOMM. Pemohon yang berjaya tidak boleh membuat pengambilan di Pusat Jualan atau Kedai Samsung.

B. SOALAN-SOALAN BERKAITAN SISTEM PERMOHONAN PERANTISISWA
1. Bilakah permohonan PerantiSiswa Fasa 2 mula dibuka?

Permohonan PerantiSiswa Fasa 2 mula dibuka semula pada 1 Ogos 2022 mulai jam 8 pagi sehingga 30 September 2022 melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my.

2. Mengapa data saya tidak dipaparkan dalam Sistem Permohonan PerantiSiswa sedangkan saya telah mengisi maklumat permohonan peranti sebelum ini?

Sistem telah menerima data daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah dibuat semakan silang status B40 dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berdasarkan data permohonan peranti pada suku tahun keempat tahun 2021. Walau bagaimanapun, pemohon masih boleh memasukkan maklumat ke dalam Sistem Permohonan PerantiSiswa dan permohonan yang lengkap dikemukakan akan diproses untuk pertimbangan.

3. Bagaimana untuk mengetahui keputusan permohonan yang dibuat melalui Sistem Permohonan PerantiSiswa ini?

Pemakluman keputusan akan dimaklumkan melalui emel pelajar dan melalui portal Permohonan PerantiSiswa.

4. Adakah terdapat sebarang panduan berkenaan penggunaan Sistem Permohonan PerantiSiswa?

Pemohon boleh merujuk kepada dokumen Manual Pengguna yang terdapat pada laman web Sistem Permohonan PerantiSiswa.

5. Adakah pemohon boleh mengubah sebarang kesalahan maklumat yang terdapat dalam borong permohonan?

Pemohon boleh mengemaskini maklumat tersebut kecuali maklumat seperti nombor kad pengenalan dan emel pemohon.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan alamat surat-menyurat dalam borang permohonan?

Alamat surat-menyurat adalah merujuk kepada alamat pemohon di mana sebarang urusan surat-menyurat dapat disampaikan ke alamat tersebut. Pemohon boleh memasukkan alamat rumah, alamat hostel atau tempat tinggal di kampus.

7. Mengapa kombinasi kata laluan yang dimasukkan tidak diterima?

Pemohon perlu memasukkan kombinasi kata laluan iaitu 12 aksara yang menggabungkan huruf besar (A-Z), huruf kecil (a-z), nombor (0-9) dan aksara khas (!@#$&). Contohnya : P@ssw0rd123

Nota: Simbol underscore (_) bukan aksara khas.

8. Apakah maklumat perhubungan yang boleh dihubungi berkenaan permohonan PerantiSiswa?

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan PerantiSiswa Keluarga Malaysia, pelajar atau pemohon boleh mengakses ke portal Helpdesk PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada URL https://perantisiswa.kkmm.gov.my/helpdesk.

Semakan pertanyaan atau aduan juga boleh dibuat dengan memasukkan tiket ID pertanyaan / aduan tersebut.

Kemaskini Pada:
15 September 2022
7.00 PM

Portal PerantiSiswa

Hubungi Kami

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya, Malaysia.

helpdesk.upps[at]kkmm.gov.my

03-8911 5351

Ikut Kami

Hak Cipta Terpelihara K-KOMM 2022 © Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia K-KOMM (S4)